Thursday, February 10, 2011

Cerita Rama-Rama

Sang rama-rama merah berterbangan, hinggap dari satu bunga ke satu bunga yang lain. Sesekali melihat sekeliling.

"Besar taman ini", detik hatinya. Berpaling ke belakang, kawan-kawannya turut asyik berlegar mengecap nikmat Tuhan. Syukur.

"Kawan", sang rama-rama biru mengegur. "Aku mahu ke sebelah selatan sana. Khabarnya bunga-bunga di sana lebih indah. Masih belum ramai yang memadu di sana. Ada peluang rezeki yang lebih besar", sambungnya lagi. Senyuman penuh harapan terpancar di wajahnya. Berseri-seri.

"Kau akan ke sini semula?"

"Mungkin".

"Baiklah. Selamat berjaya".

"Terima kasih. Kamu juga, semoga berjaya".

Rama-rama merah melihat rama-rama biru berlalu pergi. Salam perpisahan turut mengiringinya dari kawan-kawan yang lain.

Setahun berlalu, perkhabaran sang rama-rama biru jarang benar didengari. Ada pun berita yang diketahui hanya dari sang kumbang, yang amat rajin ke selatan dan pulang semula ke sini.

"Dia bahagia benar di sana katanya", jelas kumbang. "Hidupnya sempurna setelah kini bersama seorang teman. Ramai juga kenalannya di sana".

"Ada pesanan buat aku barangkali?"

Diam. Sang kumbang meminta diri. Pergi tanpa memberi jawapan. Selalunya pun begitu. Dia seakan sudah terbiasa. Bukan lagi satu kejutan buatnya.

Rama-rama merah mengerti. Hidup perlu terus.

"Apa perlu endah. Asalkan hidupnya bahagia sudahlah", hatinya berbisik.

Mujur kawan-kawannya yang lain masih ramai yang mahu bersamanya di sini. Tiada apa yang perlu disesalkan. Dia bahagia dengan sekadar apa yang ada.

"Kau sombong! Aku kau sudah lupakan!", bentak sang rama-rama biru. Rama-rama merah terpinga.

"Sedikit khabar kau tak pernah kirim. Salamku tak pernah berjawab. Kau bahagia bersama yang lain dan terus lupakan aku!".

Rama-rama merah terus membisu. Matanya masih belum lepas merenung rama-rama biru.

"Sudahlah. Aku mahu terus di sana. Aku lebih bahagia di sana tanpa kau. Aku tak perlukan kau lagi!".

Rama-rama merah terus kelu membisu sambil melihat rama-rama biru berlalu pergi. Mungkin ini kali terakhir mereka bertemu. Mungkin inilah bicara terakhir mereka.

2 comments:

faradel said...

moral of the story..?
dalam maksudnya ni..:)
kisah benar ke ni?

akainkin said...

macam faham je.. heeeee