Memandang kamu yang indah, membuatkan aku terus terpana. Syukur, detik hatiku. Hanya itu yang sering aku lakukan. Bersyukur kepada Tuhan kerana memberikanku peluang, untuk kesekian kalinya, menatap keindahanmu itu.
Bersyukur. Hanya itu yang mampu aku lakukan, demi memendamkan gelora di hati ini. Kerana aku sentiasa sedar diri. Diriku, dirimu, bagai gagak dan merak. Manakan padan menjadi pasangan.
Namun tatkala matamu menghala kepadaku, aku jadi bingung. Perlukah aku memanjat syukur? Tak kena pula rasanya. Aku mahu mengukir senyum, agar tampak lebih senang didamping. Tetapi otot mukaku seakan kejang, keras kejung. Mataku mahu menangkap pandanganmu, tetapi aku rasakan isyarat pandangan yang dihantar kepadamu lebih kepada sebuah kejutan. Ya, aku selalunya akan terkejut apabila melihatmu. Masakan tidak, kau muncul tanpa disangka.
Akhirnya aku cuma mampu mengalihkan pandanganku dan berlalu tanpa sebarang ekspresi di wajahku...
No comments:
Post a Comment